IPOH – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli meluahkan rasa kesal apabila kandungan surat sulit yang dihantarnya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Setiausaha Agung parti itu bocor kepada umum.
Beliau berkata, surat berkenaan yang menyatakan hasratnya untuk tidak merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita adalah bersifat peribadi dan tidak seharusnya dijadikan bahan serangan politik dalaman.
Katanya, tindakan membocorkan kandungan surat itu menggambarkan wujud pihak dalam parti yang tidak beretika dan sanggup melanggar prinsip adab serta disiplin organisasi.
“Saya hanya hantar surat kepada dua individu, iaitu Presiden dan Setiausaha Agung. Bagaimana surat yang bersifat sulit boleh tersebar?” katanya dalam ceramah Jelajah Hiruk di Dewan Komuniti Taman Cempaka di sini, pada Ahad.
Rafizi turut mengimbas kejadian serupa yang berlaku pada 2019 apabila suratnya kepada Presiden ketika itu turut dibocorkan dan dijadikan polemik dalaman parti.
Menurutnya, pada waktu itu beliau menasihati Anwar agar berhati-hati dengan watak-watak sekeliling yang disifatkannya berbahaya kepada kestabilan parti.
**media[3130902]**
“Tahun 2019 pun sama. Saya tulis kepada Datuk Seri Anwar untuk berhati-hati dengan kelompok tertentu. Tapi akhirnya surat itu juga disebar dan diviralkan,” katanya.
Mengulas keputusannya untuk tidak merasmikan Kongres AMK dan Wanita, Rafizi menegaskan ia dibuat atas pertimbangan prinsip dan bukan kerana emosi atau sentimen peribadi.
“Saya dah buat keputusan. Saya tak akan pergi. Biarlah saya tanggung akibatnya, asalkan saya tak normalisasikan perkara yang salah,” katanya tegas.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh pada Ahad berharap agar Rafizi mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak merasmikan kongres tersebut bagi mengekalkan tradisi parti yang telah berlangsung sejak sekian lama.
Jelas Rafizi, keputusan itu diambil susulan pelanggaran adab serta haraki parti apabila program pelancaran jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diumumkan tanpa perbincangan dalam Biro Politik mahupun Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
“Tiada mesyuarat, tiada makluman rasmi. Tiba-tiba keluar poster mengatakan Nurul Izzah dan Amiruddin akan melancarkan jentera pilihan raya pada tarikh dan masa yang sama dengan program saya,” tegasnya.
Beliau berkata, langkah tersebut meletakkan pemimpin akar umbi dalam dilema serta menggambarkan kelemahan komunikasi dalam pengurusan parti.
“Kita mesti ada tatacara, mesti ikut adab. Kalau semua benda dibuat ikut suka, macam mana kita nak urus parti dengan baik?” katanya lagi.
Rafizi juga menegaskan bahawa tindakan beliau bukanlah untuk menghalang sesiapa, sebaliknya demi memastikan parti kekal berdisiplin dan menghormati struktur yang telah lama diamalkan.
“Kalau nak sangat timbalan presiden baharu, silakan. Kalau nak lantik Izzah atau Amiruddin lancarkan, silakan. Saya tak halang,” katanya secara sinis.
Beliau turut memberi amaran agar parti tidak membiasakan diri melanggar adab hanya kerana kepentingan sesetengah pihak, khususnya menjelang pemilihan parti akan datang.
“Kita diajar dalam parti ini, kalau sesuatu itu tidak betul, kita mesti bersuara. Jangan kita normalisasikan perbuatan yang salah,” katanya.
Rafizi turut mengingatkan bahawa prinsip konsistensi adalah penting dalam politik, dan kepimpinan parti perlu menunjukkan teladan yang baik, sama ada ketika menjadi kerajaan mahupun pembangkang.
“Kita tak boleh benarkan dua set standard. Masa pembangkang lain, masa kerajaan lain. Itu bukan budaya reformasi,” ujarnya.